DASAR PENDIDIKAN KEBANGSAAN
Latarbelakang
Dalam tahun-tahun menuju kemerdekaan, telah timbul kesedaran
di kalangan pemimpin dan rakyat Malaysia tentang betapa
mustahaknya diadakan satu sistem pendidikan kebangsaan untuk
mengganti sistem pendidikan penjajah bagi memenuhi kehendak
negara. Atas kesedaran inilah lahir satu Dasar Pendidikan
(Pelajaran) Kebangsaan melalui Penyata Razak 1956 dan
dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran, 1957. Dasar pendidikan
ini telah disemak semula dalam tahun 1960 yang menghasilkan
Laporan Rahman Talib. Laporan Rahman Talib ini kemudian
dimaktubkan dalam Akta Pelajaran, 1961.
Kemudian, sebuah Jawatankuasa Kabinet telah ditubuhkan dalam
tahun 1974 untuk mengkaji semula Dasar Pendidikan dengan
tujuan untuk memperbaiki pelaksanaannya supaya matlamat
untuk melahirkan satu masyarakat yang bersatupadu dan
berdisiplin serta memenuhi keperluan tenaga rakyat yang
terlatih bagi pembangunan negara dapat dicapai. Laporan
Jawatankuasa ini telah diterbitkan dalam tahun 1979.
Rasional
Sistem pendidikan di zaman penjajahan telah berkembang tanpa
mengambilkira kepada keperluan pembangunan, pembentukan
identiti kebangsaan dan perpaduan negara. Sistem Pendidikan
berkenaan mengekalkan tumpuan taat setia rakyat pendatang
dan keturunan mereka kepada negara asal mereka dan menekan
suppress semangat pembangunan rakyat tempatan. Sistem ini
mungkin secocok dengan Tanah Melayu yang terjajah tetapi
apabila Tanah Melayu sudah merdeka, ia didapati tidak lagi
sesuai. Oleh itu, langkah-langkah diambil bagi menggubal
satu sistem pendidikan kebangsaan yang sesuai untuk negara
yang merdeka dan mempunyai matlamat-matlamat sendiri.
Objektif
Objektif dasar ini dinyatakan dalam Pendahuluan kepada Akta
Pelajaran, 1961, iaitu:
"BAHAWASANYA dasar pelajaran seperti yang diisytiharkan
dalam Ordinan Pelajaran, 1957 ialah untuk menubuhkan satu
sistem pendidikan yang akan dapat memenuhi keperluan negara
dan menggalakkan perkembangan kebudayaan, sosial, ekonomi,
dan politiknya..." Objektif ini dinyatakan secara am tetapi
dalam melaksanakannya, Kementerian Pendidikan dengan
berpandukan kepada Penyata Razak 1956 dan Laporan Rahman
Talib 1960, telah mentafsirkannya sebagai menyatupadukan
kanak-kanak sekolah berbilang kaum dan menyediakan tenaga
kerja ("tenaga rakyat," istilah yang digunakan oleh Laporan
Jawatankuasa Kabinet) bagi keperluan ekonomi.
Seterusnya, objektif-objektif ini diperkhususkan lagi
apabila Jawatankuasa Kabinet ditubuhkan dan bidang tugasnya
ditetapkan. Ini mencerminkan hasrat bahawa Dasar Pendidikan
diharapkan dapat memenuhi keperluan tenaga rakyat negara ini
dalam jangka panjang dan pendek dan melahirkan masyarakat
yang bersatupadu, berdisplin dan terlatih.
Falsafah Pendidikan Negara yang diasaskan kepada hasrat
serta aspirasi negara dan dinyatakan secara bertulis baru-
baru ini memberi penekanan kepada usaha melahirkan insan
yang berilmu dan berakhlak, seimbang dan harmonis, yang
boleh mencapai kesejahteraan diri dan memberi sumbangan
kepada keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Ini
menjadi satu matlamat penting sistem pendidikan kebangsaan.
Strategi Pelaksanaan
Beberapa strategi telah digubal untuk mencapai matlamat
Dasar Pendidikan yang telah ditetapkan seperti berikut:
(a) Menjadikan Bahasa Kebangsaan sebagai bahasa pengantar
yang utama;
(b) Mengadakan kurikulum yang sama dan berorientasikan
Malaysia bagi semua jenis sekolah;
(c) Mewujudkan sistem peperiksaan yang sama bagi semua;
(d) Melicinkan tatacara pengurusan pendidikan;
(e) Meningkatkan mutu pendidikan keseluruhannya dengan
menyediakan pendidikan yang menyeluruh, seimbang dan
bersepadu;
(f) Mengadakan peluang pendidikan asas selama sembilan
tahun;
(g) Mendemokrasikan pendidikan dari segi peluang dan mutu
dengan mengagihkan peruntukan secara adil dan memberi
perhatian khas kepada kumpulan yang kurang bernasib baik
dan kawasan luar bandar atau pendalaman;
(h) Menyediakan pendidikan rendah mengikut Kurikulum Baru
Sekolah Rendah (KBSR) yang berasaskan 3M iaitu membaca,
menulis dan mengira pada tahun 1983 yang menjurus kepada
kurikulum bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada tahun
1989. Matlamat utama kurikulum baru ini adalah untuk
melahirkan individu yang seimbang dari segi ilmu
pengetahuan dan kemahiran yang sesuai dan mempunyai
moral serta nilai etika yang kukuh;
(i) Memperluaskan pendidikan Vokasional dan Teknik melalui
penyusunan semula kurikulum Sekolah Vokasional pada
tahun 1978;
(j) Mempelbagai dan memperbanyakkan kemudahan pendidikan di
peringkat universiti terutama dalam bidang sastera
gunaan dan sains gunaan;
(k) Mempertingkatkan pendidikan kerohanian, moral dan
disiplin;
(l) Menjadikan Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Inggeris sebagai
mata pelajaran yang wajib diajar di sekolah-sekolah dan
memberi peluang yang sempuma bagi pembelajaran bahasa-
bahasa lain seperti Bahasa Cina dan Bahasa Tamil; dan
(m) Menggalakkan aktiviti ko-kurikulum yang memupuk disiplin,
seperti pasukan-pasukan kadet tentera, kadet polis,
pengakap, puteri Islam dan lain-lain.
Di samping strategi ini, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga
dilaksanakan dengan mengada dan memperkembangkan tenaga
pengajar yang terlatih dan juga mendirikan sekolah-sekolah
selaras dengan pertambahan kanak-kanak. Di Kementerian/
Jabatan Pendidikan pula, beberapa Bahagian dan Jawatankuasa
yang meliputi perkara-perkara yang dibangkitkan oleh Dasar
Pendidikan Kebangsaan telah ditubuhkan atau diperkuatkan
bagi memastikan tercapainya hasrat Dasar Pendidikan ini.
Diantaranya termasuklah penubuhan Bahagian Perancangan dan
Penyelidikan Pendidikan, Bahagian Pelajaran Teknik dan
Vokasional, Jawatankuasa Pusat Kurikulum, Biro Buku Teks,
Majlis Sukan Sekolah-sekolah Malaysia, Jawatankuasa
Perancangan Pendidikan, Bahagian Perkhidmatan, Sebaran
Pendidikan dan Pusat Perkembangan Kurikulum.
Pencapaian Semasa
Di dalam menilai pencapaian semasa, dua matlamat utama Dasar
Pendidikan Kebangsaan yang hendak dilihat ialah:
(a) Sama ada pelaksanaan sistem pendidikan dan kurikulum
yang ada sekarang dapat melahirkan keperluan tenaga rakyat
dalam jangka pendek dan jangka panjang yang diperlukan oleh
negara; dan
(b) Sama ada sistem pendidikan negara telah dapat melahirkan
rakyat yang bersatupadu, berdisiplin dan terlatih.
Untuk mengetahui dengan tepat sama ada pelaksanaan Dasar
Pendidikan Kebangsaan telah dapat memenuhi keperluan tenaga
rakyat adalah satu perkara yang sukar. Hakikat ini diakui
oleh Jawatankuasa Kabinet Mengkaji Pelaksanaan Dasar
Pendidikan 1974. Antara sebab-sebab yang dinyatakan ialah
kurangnya kajian-kajian dibuat khusus untuk meneliti
kedudukan dan keperluan tenaga rakyat negara ini. Keperluan
tenaga rakyat yang bergantung kepada perkembangan ekonomi
negara memang sukar ditentukan memandangkan perkembangan itu
sangat dipengaruhi oleh iklim ekonomi dunia yang berubah-
ubah. Namun begitu, hasil dari pelaksanaan Dasar Pendidikan
Kebangsaan selama ini, tenaga rakyat yang dihasilkan pada
keseluruhannya dapat memenuhi keperluan gunatenaga negara
kecuali di beberapa bidang tertentu. Selaras dengan Dasar
Ekonomi Baru, Dasar Pendidikan Kebangsaan juga telah dapat
merapatkan jurang pengenalan bidang pekerjaan mengikut kaum
sama ada di dalam sektor awam ataupun swasta. Di samping itu
ianya telah dapat mengurangkan kadar kemiskinan terutamanya
bagi kaum bumiputera yang berpendidikan.
Mengenai matlamat melahirkan rakyat yang bersatupadu,
berdisiplin dan terlatih, ada tanda-tanda yang menunjukkan
bahawa ini telah tercapai. Misalnya kurikulum yang sama dan
bercorak kebangsaan telah sedikit sebanyak menimbulkan dan
memupuk perasaan dan kesedaran kebangsaan Malaysia di
kalangan mereka yang melalui sistem pendidikan kebangsaan.
Namun demikian, sukar dipastikan sama ada perasaan dan
kesedaran itu telah membuahkan perpaduan. Malah, walaupun
perpaduan wujud sekarang ini, sukar hendak dikatakan bahawa
ia adalah hasil daripada sistem pendidikan semata-mata
kerana perpaduan bukannya bergantung kepada satu faktor
sahaja walaupun sistem pendidikan merupakan satu daripada
faktor- faktor penting yang perlu diambilkira.
Pendidikan dan Latihan di Bawah Rancangan Malaysia Keenam
Program pendidikan dan latihan akan dimaju dan
dipertingkatkan di bawah Rancangan Malaysia Keenam (91-95)
ini untuk melahirkan tenaga kerja yang berpendidikan, mahir
dan terlatih. Setiap individu akan dilengkapkan dengan
pengetahuan dan kemahiran yang sesuai, tetapi juga untuk
melahirkan warganegara yang bertangungjawab serta mempunyai
nilai-nilai moral dan etika yang kukuh. Keutamaan yang lebih
kepada pendidikan dan latihan kerana ia akan membantu kepada
pencapaian matlamat Dasar Pembangunan Nasional (DPN,)
terutama untuk membasmi kemiskinan dan juga penyusunan
semula masyarakat. Penyediaan lebih banyak peluang
pendidikan dan latihan akan diberikan kepada golongan yang
berpendapatan rendah, ini akan meningkatkan pendapatan dan
peluang mereka untuk mendapat pekerjaan dan selanjutnya
menyumbangkan peningkatan agihan pendapatan.
Penutup
Dasar Pendidikan Kebangsaan sememangnya dapat menampung
keperluan-keperluan negara buat masa ini dan masa depan.
Selaras dengan hasrat negara untuk mencapai tahap negara
perindustrian adalah penting rakyatnya diberikan pendidikan
secucuk dengan keperluan-keperluan swasta bagi bidang-bidang
tertentu seperti pengeluaran, pelancongan, perkhidmatan, dan
sebagainya. Oleh itu dasar ini bukan sahaja dapat memenuhi
keperluan tenaga manusia dari segi jumlah tetapi juga dari
segi kualiti. Dasar ini seharusnya dapat menggalakkan lebih
ramai rakyat yang terlibat secara aktif dalam bidang
keusahawanan dan tidak bergantung semata-mata kepada
kerajaan untuk mencari kerja. Ini adalah selaras dengan
dasar kerajaan semasa yang menekankan penyertaan swasta
secara aktif.
Pelaksanaan Penyata Razak
Penyata Razak (1956) mewujudkan Dasar Pendidikan Negara yang ulung. Pelaksanaan dasar tersebut telah melahirkan Lembaga Peperiksaan. Di peringkat awal selain mengendalikan peperiksaan Cambridge, Lembaga Peperiksaan telah mengendali sendiri peperiksaan berikut:
• Malayan Secondary School Entrance Examination (MSSEE)
• Lower Certificate of Education (LCE)
[sunting] Pelaksanaan Laporan Rahman Talib
Perakuan Laporan Rahman Talib (1960) memberi penekanan, di antara lain, melanjutkan persekolahan kepada umur 15 tahun, sistem naik darjah secara automatik dan seterusnya pendidikan bercorak aneka jurusan. Pelaksanaan dalam bidang peperiksaan telah mewujudkan:
• Kemasukan mata pelajaran elektif dalam LCE dan SRP
• Peperiksaan Penilaian Darjah V (PPDL)
• Peperiksaan Sijil Pelajaran Vokasional Malaysia (SPVM)
• Ujian Diagnostik Darjah III (UDT)
[sunting] Pelaksanaan Laporan Kabinet
Pelaksanaan Laporan Kabinet (1979) telah mewujudkan perkembangan sistem pendidikan yang terkini, khususnya KBSR dan KBSM. Ini telah menyebabkan berlakunya penyesuaian dalam sistem peperiksaan untuk memenuhi hasrat dan kehendak kurikulum dan sejajar dengan Falsafah Pendidikan Negara. Perubahan/Penyesuaian yang dibuat dalam sistem peperiksaan ialah:
• Mewujudkan UPSR bagi menggantikan PPDL
• Mewujudkan PMR bagi menggantikan SRP
• Menyesuaikan SPM supaya selaras dengan kehendak KBSM
SEKOLAH KLUSTER:
Program Pelaksanaan Sekolah Kluster Sehingga Jun 2007
Senarai 30 Buah Sekolah Kluster Yang Telah Menerima Sijil Pengikhtirafan Pada 30 Mac 2007
LATARBELAKANG - Penubuhan Sekolah Kluster terkandung dalam Bab 9 Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) yang telah dilancarkan pada 16 Januari 2006. Pewujudan Sekolah Kluster adalah berdasarkan pendekatan kedua PIPP iaitu untuk mengembangkan sepenuhnya potensi sekolah dalam kluster kecemerlangan yang mekanismenya dinyatakan dalam Teras Strategik Ke-6, Melonjakkan Kecemerlangan Institusi Pendidikan. Tinjauan literatur menunjukkan bahawa amalan mengelompokkan sekolah dilaksanakan di luar negara untuk peningkatan kualiti pendidikan. Pengelompokan yang dilaksanakan di luar negara adalah berasaskan lokaliti ataupun kecemerlangan.
DEFINISI
Sekolah kluster ialah satu jenama yang diberi kepada sekolah yang dikenal pasti cemerlang dalam klusternya daripada aspek pengurusan sekolah dan kemenjadian murid. Pewujudan sekolah kluster bertujuan melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan Malaysia dan membangun sekolah yang boleh dicontohi oleh sekolah dalam kluster yang sama dan sekolah lain di luar klusternya.
TUJUAN
Sekolah Kluster diwujudkan bagi melonjakkan kecemerlangan sekolah dalam sistem pendidikan Malaysia.
PELAKSANAAN
Terdapat tiga jawatankuasa yang ditubuhkan bagi melaksanakan konsep sekolah kluster. Jawatankuasa tersebut ialah;
• Jawatankuasa Pemilihan Sekolah - dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
• Panel Penasihat - dipengerusikan oleh YBhg. Tan Sri Datuk Seri Panglima Dr. Abdul Rahman Arshad
• Jawatankuasa Pelaksana – dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Jabatan Sekolah)
Pelaksanaan sekolah kluster adalah berasaskan kepada proses desentralisasi yang melibatkan pengupayaan sekolah menerusi pemberian autonomi terpimpin. Pandangan stakeholder seperti PIBG, Alumi, pemimpin sekolah dan guru turut diambil kira dalam pelaksanaan sekolah kluster. Mereka telah terlibat secara langsung dalam Bengkel Autonomi Sekolah Kluster Kementerian Pelajaran Malaysia yang telah diadakan pada 19-20 Mac 2007. Panel Penasihat Sekolah Kluster pula akan membantu menyumbangkan kepakaran mereka bagi memastikan pelaksanaan sekolah kluster dapat berjalan dengan jayanya.
KRITERIA PEMILIHAN SEKOLAH KLUSTER
Pemilihan sekolah kluster akan dibuat berdasarkan kepada kluster berikut:
• Sekolah Rendah yang terdiri daripada Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dan Sekolah Orang Asli.
• Sekolah Menengah yang terdiri daripada Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Sekolah Menengah Teknik (SMT), Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA), Sekolah Menengah Harian, Sekolah Premier, Sekolah Seratus Tahun, sekolah dalam persekitaran Putrajaya dan Cyberjaya, dan Sekolah Model Khas.
• Sekolah Rendah Pendidikan Khas (SPK) dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas (SMPK), dan Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional (SMPKV).
• Sekolah Antarabangsa dan Sekolah Swasta
• Institusi lepas menengah seperti Kolej Matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) (PIPP, 2006, ms. 119 dan 121)
Pemilihan sekolah tersebut perlu memenuhi prasyarat dan syarat berikut:
• Prasyarat Pertama
o Pengukuran Standard Sekolah:
• Sekolah mestilah mencapai sekurang-kurangnya Taraf Cemerlang berdasarkan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM)
• Prasyarat Kedua
• Kecemerlangan Kurikulum (Sekolah Menengah)
• Gred Purata Sekolah (GPS) untuk peperiksaan awam PMR dan SPM 3 tahun berturut-turut:
SBP : GPS 2.5 dan ke bawah
SMKA : GPS 3.0 dan ke bawah
SMT : GPS 4.0 dan ke bawah
SM Harian : GPS 4.0 dan ke bawah
o Kecemerlangan Kurikulum (Sekolah Rendah):
o Sekolah Rendah Harian : 80% dan ke atas murid lulus semua mata pelajaran dalam UPSR, atau
o Peratus kelulusan menunjukkan peningkatan; atau
o GPS UPSR : 2 dan ke bawah
c. Syarat Pemilihan
• Kecemerlangan murid dalam aspek:
o Akademik
o Kokurikulum
o Sahsiah
• Pengurusan sekolah berwawasan dan berkesan.
• Pembangunan sumber terurus dan digunakan secara optimum.
• Pemimpin sekolah mengamalkan kepimpinan berkualiti.
• Pengurusan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.
• Iklim sekolah kondusif untuk pembangunan modal insan.
• Keberkesanan pelaksanaan program KPM
• Sekolah berwatak
Sekolah yang memenuhi prasyarat dan syarat yang ditetapkan di atas boleh mengemukakan permohonan dan prosedur pemilihan adalah seperti berikut:
• Langkah 1: Penerimaan pencalonan
• Langkah 2: Penilaian menggunakan instrumen SKPM dan Annex.
• Langkah 3: Penentuan standard (standard fixing) oleh JK Pelaksana Sekolah Kluster
• Langkah 4: Kesahan calon dalam Mesyuarat Hal-hal Profesional
• Langkah 5: Calon dimaklumkan kepada Lembaga Penasihat
• Langkah 6: Pengumuman oleh YB Menteri Pelajaran
PENGURUSAN SEKOLAH KLUSTER
Pemimpin sekolah kluster ialah:
• Pengetua/Guru Besar (DG52/DGA 36)
• Pemimpin yang terpilih memenuhi syarat pemimpin cemerlang
• Jawatan: school-based post
Guru-guru sekolah kluster pula:
• Memenuhi kriteria Guru Cemerlang
• Prestasi mereka akan menentukan sama ada mereka kekal mengajar di Sekolah Kluster.
• Boleh mendapatkan perkhidmatan pakar mengikut niche areas sekolah dalam bidang kokurikulum secara kontrak atau sambilan
• Nisbah kelas: guru ialah 1:2
Kaedah pemilihan pelajar sekolah kluster:
• Kluster SBP, SMT dan SMKA kekal seperti amalan sedia ada
• Kluster lain, pengetua/guru besar diberi kuasa mengambil sejumlah kecil murid baru untuk bidang kebitaraan sekolah
• Ujian saringan sekolah
Akauntabiliti Pemimpin Sekolah:
• Berpandukan:
o Key Performance Indicator (KPI)
pengurusan sumber manusia dan fizikal
sumber kewangan
pembangunan profesionalisme staf
program kurikulum dan kokurikulum berkesan
lulusan sekolah berkualiti: pencapaian akademik, kokurikulum dan sahsiah.
o TOR Sekolah Kluster
Autonomi Sekolah:
Jenis Autonomi yang diberikan kepada sekolah berbentuk:
o Umum (untuk semua sekolah)
o Khusus (mengikut keperluan sekolah berlandaskan kepada jenis sekolah, pengajiannya dan niche areas).
Autonomi yang diberikan juga merupakan autonomi terpimpin yang memerlukan kepada:
• Pematuhan piawai yang berikut:
o Akta Pendidikan 1996
o Sistem Pendidikan Kebangsaan
o Akta Tatacara Kewangan 1957, Pekeliling Perbendaharaan dan Garis Panduan dan Surat-surat Siaran
o SKPM
Senarai Bidang Autonomi:
o Pengurusan Sekolah
o Pengurusan Sumber Manusia
o Pengurusan Sumber Kewangan dan Sumber Fizikal
o Pengurusan dan Pelaksanaan Kurikulum
o Pengurusan dan Pelaksanaan Kokurikulum
Jaminan kualiti:
Bagi memastikan sekolah kluster sentiasa mempertingkatkan standard kualiti, jaminan kualiti di sekolah kluster akan menggunakan mekanisme kawalan luaran dan kawalan dalaman.
Peranan Agensi Lain
Sekolah Kluster akan memperluas peranan yang boleh dimainkan oleh PIBG, Lembaga Pengelola, Alumni dan NGO dalam aspek:
o Biasiswa
o Kewangan/Dana
o Program Kecemerlangan Akademik
o Program Kecemerlangan Kokurikulum
o Program Kerjaya
IMPAK SEKOLAH KLUSTER
Sekolah kluster akan memberi impak yang positif kepada pendidikan negara dari segi:
Program Kecemerlangan Kokurikulum
• Program Kerjaya
• Pelajar sekolah cemerlang secara keseluruhan (holistic) dalam sistem: 5.8% daripada 5.2 juta pelajar
• Lepasan sekolah kluster diterima masuk universiti ternama luar negara
• Badan korporat dan agensi kerajaan berkeyakinan menaja pengajian lepasan sekolah kluster
• Menyediakan asas kukuh melahirkan peneraju utama agen perubahan
• Sebanyak 300 buah sekolah diiktiraf antarabangsa (3.1% daripada 9663 sekolah)
• Model piawaian kepada sekolah dalam dan luar negara
• Pemimpin berkualiti (3.1% daripada 9663 sekolah) dan guru yang cemerlang
(6.9% daripada 350,000 guru)
• Melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan di Malaysia
Sekolah bestari merupakan satu konsep sekolah di Malaysia. Konsep ini akan membawa kepada pendemokrasian pendidikan sepenuhnya. Sekolah ini bukan hanya untuk mereka yang pintar tetapi ia merupakan cara bestari bagi menjamin setiap pelajar - kuat atau lemah, kaya atau miskin - mencapai potensi sepenuhnya dalam cara yang paling sesuai mengikut kadar dan gaya pembelajaran yang berlainan. Teknologi komputer akan membolehkan kepelbagaian dibina dalam sistem pendidikan.
Pada peringkat permulaan, empat mata pelajaran, iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, akan diperkenalkan di Sekolah Bestari dengan menggunakan teknolgi terkini sebagai kaedah dan teknik pengajaran dan pembelajaran. Semua bahan pengajaran dan pembelajaran disediakan dalam bentuk perisian yang direka oleh Pusat Pemkembangan Kurikulum bersama dengan Bahagian Teknolohi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Untuk menentukan kejayaan pelaksanaan konsep Sekolah Bestari, guru-guru di sekolah yang dipilih menjadi sekolah bestari, akan diberi latihan dalam perkhidmatan, khasnya dalam bidang pedagogi untuk aktiviti pengajaran dan pembelajaran melalui penggunaan teknologi terkini. Bagi sekolah-sekolah bestari yang ditubuhkan, tenaga pengajar dan pentadbirnya akan dipilih oleh Ketua Pasukan Bertugas Sekolahh Bestari di bawah Bahagian Sekolah, Kementerian Pendidikan Malaysia.
Perkembangan Sekolah Bestari telah menjadi satu arah-aliran dalam perkembangan pendidikan yang tidak dapat dielakkan dalam reformasi pendidikan di Malaysia. Sekolah Bestari ini merupakan sekolah satu-satunya dapat melahirkan pelajar-pelajar yang cerdik dan berpengetahuan, dan dijangkakan akan mampu bersaing apabila menghadapi cabaran-cabaran Wawasan Negara.
[sunting] Salah Faham
Pada peringkat awal konsep sekolah bestari diperkenalkan terdapat salah faham yang meluas dalam kalangan warga pendidik dan ibu bapa yang menyangka sekolah bestari adalah sekolah yang mesti menggunakan komputer dan kemudahan ICT. Padahal penggunaan ICT hanyalah pemangkin dalam melaksanakan konsep bestari sedangkan terdapat banyak lagi faktor ke arah pembestarian dalam persekolahan.
Sekolah Wawasan
Beberapa sekolah awam berkongsi kemudahan yang sama di dalam sebuah sekolah yang dikenali sebagai Sekolah Wawasan. Penubuhan Sekolah Wawasan adalah untuk menggalakkan interaksi yang lebih rapat antara kaum. Akan tetapi, kebanyakan orang Cina dan orang India membantah Sekolah Wawasan kerana mereka percaya bahawa Sekolah Wawasan akan mengehadkan penggunaan bahasa ibunda di sekolah.
3 Comments:
Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama
juz nk tnye kamoo sye still xjmpe la sebab2 dsr kbgsn diperkenalkan..
sye blur sgt..coz sye da search pn xjupe la..
bley tlg x?
dasar pendidikan kbgsaan lol..
sbb2 ianya diperkenalkan