Blogger Template by Blogcrowds

.


GURU PENGASAS KEJAYAANKU
Oleh Hajah Noorhijrah Haji Idris
GURU sinonim dengan alam pembelajaran. Guru juga boleh dimaksudkan antaranya sebagai pendidik, pengajar atau pengasuh. Walau apa pun, para guru adalah antara insan terawal yang bertanggungjawab dalam memberikan pendidikan secara formal atau bersistem kepada para murid. Malahan guru juga adalah insan pertama dikenali sewaktu mula menjejakkan kaki ke alam persekolahan.
Walau sudah bertahun-tahun lamanya alam persekolahan ditinggalkan namun kenangan dan ingatan terhadap para guru dan tenaga pengajar masih berbekas di ingatan. Dorongan, nasihat dan tunjuk ajar mereka tetap dijadikan pedoman dan ingatan dalam mengharungi kehidupan sehari-hari. Guru seperti ibu bapa kedua, mendidik dan menjaga para pelajar sebaik mungkin, bersikap profesional tanpa mengira asal usul dan latar belakang.
Sejak zaman dahulu, kerjaya sebagai seorang guru adalah profesion yang amat terpuji, malahan seorang guru amat digalati dan dihormati oleh masyarakat. Namun itu tidak bermakna kerjaya sebagai guru kerja yang mudah kerana mereka juga menghadapi cabaran-cabaran dan halangan dalam menunaikan tugas dan tanggungjawab mereka. Malahan pihak kerajaan juga mengambil berat di dalam soal melahirkan sorang insan bernama guru. Ini kerana mereka insan yang bertanggungjawab dalam membentuk pelajar yang berkualiti dan juga mempunyai nilai-nilai budi dan akhlak yang tinggi.
Tema 'Guru Pengasas Kejayaannku' ini amat besar ertinya pada setiap orang yang pernah mengalami kehidupan sebagai pelajar. Tanpa tunjuk ajar dan bimbingan para guru tentu amat sukar proses pembelajaran yang kita jalani. Berkat bimbingan guru, asas yang kukuh untuk mencapai kejayaan tidak sukar untuk dibina asalkan para pelajar belajar dengan bersungguh-sungguh.
NAKHODA
Tidak keterlaluan jika dikatakan guru sebagai seorang nakhoda, mengetuai kapal, memberi panduan dan arah tujuan, di samping menjaga kebajikan anak-anak (kelasi) kapal. Para pelajar pula seperti anak-anak (kelasi) kapal yang bersedia menerima arahan. Manakala lautan yang luas adalah bagaikan hari-hari yang akan ditempuh oleh guru dan pelajar. Kerjasama yang baik antara nakhoda dan anak-anak (kelasi) kapalnya pasti akan membawa mereka ke destinasi yang betul dengan selamat walaupun terpaksa mengharungi ombak atau badai yang besar. Begitu jugalah realiti di dalam situasi alam pembelajaran, guru sebagai seorang pendidik akan sedaya upaya menyampaikan ilmu pengetahuan dan menjalankan tugas mereka. Pelajar pula perlu bersedia menerima segala ilmu pengetahuan yang diberikan. Konsep bekerjasama, memberi dan menerima perlu bagi kejayaan kepada seorang guru menjalankan tanggungjawabnya dan untuk kejayaan para pelajar itu sendiri.
Untuk menjadi asas yang kukuh kepada kejayaan para pelajar, para guru juga berusaha meneruskan pembelajaran masing-masing. Dengan erti kata lain, istilah mengajar dan belajar perlu ada pada setiap insan yang bergelar guru. Ini kerana perkembangan zaman telah membawa pelbagai perkara baru.
Hal ini pernah disentuh oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di dalam titah baginda di Majlis Hari Guru Ke-4 pada tahun 1994.
Petikan titah baginda berbunyi "Walaupun begitu, sesuai dengan perkembangan zaman, penguasaan terhadap bidang-bidang ilmu, mestilah dijadikan matlamat oleh para guru. Mereka janganlah berhenti menerokanya sejauh yang mungkin. Umpamanya, mereka juga perlu terdedah kepada bidang-bidang terbaru dalam pendidikan, seperti bidang teknik pengajaran, termasuk penggunaan alat-alat teknologi moden."
Mendengar kisah seorang guru lama, yang bermula sebagai seorang guru pelatih dan mengajar dalam Bahasa Melayu. Namun kesedaran ingin maju telah mendorong beliau untuk mempelajari Bahasa Inggeris dan seterusnya melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Dengan ilmu yang ada beliau terus mendidik anak bangsa Brunei. Sekarang beliau boleh berbangga kerana ramai dari anak didik beliau yang telah memegang jawatan tinggi dan ada pula yang mengikut jejak langkah beliau menjadi seorang guru. Ini membuktikan bahawa kesedaran untuk mengajar dan terus belajar telah lama wujud di hati insan yang bergelar guru.
LEBIH DINAMIK
Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah di dalam sabda sempena Majlis Sambutan Hari Guru Ke-12 Tahun 2002 juga telah menyentuh aspek yang sama. "Sehubungan dengan ini, adalah mustahak bagi guru-guru selaku pendidik untuk memainkan peranan yang lebih dinamik, berpandangan jauh serta 'creative'.
Ini termasuklah dengan menggunakan teknik-teknik pengajaran yang berasaskan kepada kaedah-kaedah dan teknologi terbaru, yang mana dewasa ini sering dikaitkan dengan teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT. Perkara ini memerlukan guru-guru untuk mengorak langkah bagi meningkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka dalam ICT dan menjadikan pendidikan sebagai 'life-long learning'.
Jadi kehadiran teknologi terbaru seharusnya diambil sebagai satu kesempatan atau peluang yang baik (opportunity) oleh para guru dan bukannya sebagai ancaman (threat). Ini kerana guru tetap memainkan peranan penting dalam sistem pembelajaran walaupun dunia pendidikan sudah dibanjiri oleh pelbagai alat canggih yang seakan mampu menandingi keupayaan para guru dalam menyampaikan maklumat. Peranan guru adalah seperti tulang belakang kepada sistem pendidikan dan setentunya sebagai asas kepada kejayaan para pelajar.
KHIDMAT
Perkara mengenai peranan guru ini pernah disentuh oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia di Majlis Sambutan Hari Guru Ke-6 Tahun 1996.
"Sungguhpun begitu, beta berpendapat teknologi semata-mata belumlah cukup untuk menggantikan peranan guru sebagai pendidik dalam apa pun bentuk perubahan zaman. Pendidikan moden akan terus memerlukan khidmat guru, istimewa guru-guru yang benar-benar komited dengan tanggungjawab mereka sebagai guru."
Peranan guru dalam menyampaikan ilmu pengetahuan adalah lebih baik berbanding hanya belajar melalui peralatan teknologi. Ini kerana belajar bersama guru lebih bersifat kepada 'human to human interaction' (interaksi antara manusia). Cara ini adalah lebih berkesan kerana melibatkan komunikasi dua hala secara bersemuka dan langsung.
Sebagai pembimbing dan pengajar, para guru harus peka terhadap keadaan sekeliling. Selain mengajar mereka juga harus memahami kerenah dan perangai para pelajar. Selain itu para guru mestilah membina hubungan baik dengan para pelajar. Melalui 'Parents-Teachers Association (PTA)' atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru pula para guru bergabung dalam satu kumpulan bersama ibu bapa antaranya untuk berkongsi cara terbaik dalam mendidik anak-anak/ pelajar-pelajar untuk menjadi generasi baru yang cemerlang dan berperibadi mulia.
Demi kejayaan pelajar, para guru sanggup meluangkan masa mengajar selepas waktu persekolahan atau sewaktu cuti persekolahan dan cuti umum. Para guru adalah antara insan yang banyak berkorban dalam membentuk generasi muda akan datang. Istilah pengorbanan seorang guru mencakupi dari segi masa, tenaga dan mungkin juga harta benda. Tentu kita pernah mendengar bahawa perbandingan selalu dibuat antara guru dengan lilin, lilin yang membakar diri untuk menerangi kegelapan orang lain. Tetapi sebenarnya perbandingan jasa seorang guru itu mungkin lebih dari itu. Boleh dikatakan kehadiran guru seperti matahari dan bulan. Walaupun matahari dan bulan berbeza namun tujuan kemunculannya adalah sama iaitu untuk menerangi.
'ROLE MODEL'
Bukan mudah bagi para guru untuk menjadi pengasas kejayaan. Selain dari menyampaikan ilmu pengetahuan, mereka juga perlu menjadi 'role model'. Setiap gerak laku mereka menjadi perhatian para pelajar, tersilap sedikit boleh mencetuskan kekecohan. Kerana itulah untuk menjadi seorang guru bukanlah mudah, ianya memerlukan keikhlasan dan ketabahan hati serta komitmen yang berterusan. Selain itu tugas mendidik adalah satu amanah maka ianya wajib dilaksanakan dengan sempurna.
Kesimpulannya, untuk menjadi pengasas kejayaan kepada para pelajar, seorang guru hendaklah memiliki kriteria atau ciri-ciri tertentu seperti keikhlasan dalam mengajar dan keupayaan untuk terus mempelajari kaedah-kaedah baru dalam bidang pengajaran. Sekali menjadi guru atau cikgu tidak kira mengajar mata pelajaran apa maka selamanya akan dipanggil dengan gelaran itu walaupun sudah menjawat jawatan lain. Ingatan terhadap guru akan kekal sampai bila-bila kerana guru pengasas kejayaanku. Terima kasih guruku.

0 Comments:

Post a Comment



Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama