HUKUM MENDENGAR SUARA WANITA MELALUI TELEFON
[Fatwa as-Syeikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Jubairin. Dinukil dari kitab Fatawa Wanita Muslimah jilid 1 halaman 434 cetakan Adhwaus Salaf].
Soalan:
Apakah hukumnya seseorang lelaki ajnabi mendengar suara wanita ajnabiah melalui talian telefon atau melalui peralatan talian perhubungan lain?
Jawapan:
Suara seseorang wanita ajnabiah ketika beliau berada berhampiran dengan lelaki ajnabi adalah dianggap sebagai aurat menurut pendapat yang sahih. Oleh itu, seseorang wanita tidak dibolehkan mengucapkan tasbih di dalam sembahyang mereka ketika mereka menegur sesuatu perbuatan imam yang salah sebagaimana lelaki mengucapkan tasbih. Bahkan, seseorang wanita hanya memadai menepuk belakang tangannya. Begitulah seterusnya, seseorang wanita tidak dibolehkan meninggikan suaranya ketika mengucapkan talbiah semasa mereka berihram kecuali menurut kadar yang boleh didengar oleh teman wanitanya.
Tetapi, sebahagian ulamak mengharuskan seseorang wanita ajnabiah bercakap dengan lelaki ajnabi dengan kadar keperluan seperti menjawab persoalan. Sebahagian isteri-isteri para Sahabat RA pun meriwayatkan beberapa buah hadis dan sebilangan lelaki telah mendengar periwayatannya tetapi perbuatan tersebut dengan syarat tidak adanya sebarang keraguan dan tidak ada pengaruh yang boleh menimbulkan gerakan syahwat.
Firman Allah SWT dalam
Surah al-Ahzab ayat 32 yang bermaksud, "Maka seseorang wanita itu janganlah melembutkan suaranya kerana menyebabkan hati orang lelaki yang ada penyakit akan menaruh harapan. Seseorang wanita hendaklah mengucapkan perkataan yang sopan."
Penyakit syahwat adalah dianggap sebagai zina yang boleh berlaku dalam hati ketika seseorang wanita melembutkan atau merendahkan suaranya. Berdasarkan kepada permasalahan ini, seseorang wanita sewajarnya menjawab persoalan menurut kadar keperluan bila bercakap melalui telefon sama ada wanita itu memulakan perbualan atau membalas percakapan kepada lelaki ajnabi yang menghubunginya melalui talian telefon. Dalam keadaan ini, perbuatan mereka adalah di dalam hal yang sangat diperlukan untuk melakukannya, percakapan mereka akan menghasilkan faedah syarak bagi kedua-dua belah pihak, bukan berada di tempat yang meragukan, tidak mengeluarkan suara yang lembut lagi tidak mempunyai faedah, tidak akan menyebabkan kepada pengaruh syahwat dari salah seorang dari keduanya. Yang lebih utama, mereka hendaklah meninggalkan perbualan itu melainkan ketika tersangat perlu.
Fatwa-fatwa as-Syeikh Soleh bin Fauzan jilid 3
Untuk menjaga syariat ini pada semua tujuannya, syariat Islam telah mengharamkan zina yang boleh menuju ke kemuncak kerosakan sesuatu kehormatan, sehingga syariat Islam telah melarang dan menutup semua punca yang akan mendorong kepada perzinaan dan menegah semua perantaraan yang mengajak kepada perbuatan maksiat.
Untuk tujuan itu, syariat Islam telah mengharamkan kepada setiap perempuan melembutkan suaranya bila berbicara dengan lelaki ajnabi sekalipun kerana hajat yang disyarakkkan seperti berjual beli, meminta fatwa, menjawab soalan lelaki ajnabi dari sebalik pintu, menjawab percakapan lelaki ajnabi melalui telefon dan seumpamanya. Perempuan tidak boleh berbicara kecuali dengan kadar yang diperlukan dan menggunakan suara yang bersikap takut serta sopan.
Mahram ialah setiap lelaki yang diharamkan berkahwin dengan seseorang perempuan dengan hukum haramnya yang selama-lamanya seperti bapa, anak lelaki, saudara lelaki, bapa saudara dan seterusnya. Oleh itu, lelaki yang dihalalkan berkahwin dengan seseorang perempuan itu (melainkan suami) adalah dianggap sebagai lelaki ajnabi sekalipun lelaki itu ada hubungan kekeluargaan dengan perempuan itu seperti sepupu lelaki, suami saudara perempuan (ipar lelaki) dan lainnya.
Firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 32,
"Maka janganlah kamu tunduk (berbicara dengan sikap yang menimbulkan keberanian orang bertindak yang tidak baik terhadap seseorang perempuan) dalam berbicara sehingga orang yang ada penyakit di dalam hatinya ada berkeinginan (orang yang mempunyai niat berbuat serong dengan seseorang perempuan). Dan ucapkanlah perkataan yang baik."
1) Imam Ibnu Jarir at-Tabari RA dalam tafsirnya mengatakan, seseorang perempuan itu janganlah melembutkan suaranya kepada seseorang lelaki yang boleh mendorong orang yang mempunyai niat tidak baik melakukan perbuatan serong kepada perempuan itu. Kemudian, beliau menukilkan hadis dengan sanad yang bersambung kepada Ibnu Abbas RA berkata,
"Seseorang perempuan janganlah menurunkan bicaranya dan melembutkan ungkapannya."
Beliau juga menukilkan hadis yang sanadnya bersambung kepada Ibnu Zaid berkata,
"Menundukkan suara ialah suara yang dibenci yang diluahkan oleh seseorang perempuan kepada lelaki ajnabi, yang boleh menusuk ke dalam jiwa lelaki."
Perkataan yang makruf ialah ungkapan yang sopan, baik dan terkenal dengan kebaikan.
2) Imam Qadhi Abu Bakar ibnu al-Arabi berkata di dalam kitabnya Akamul Qur'an mengenai firman Allah SWT dalam Surah al-Ahzab ayat 32 itu, Allah SWT telah memerintahkan kepada seseorang perempuan agar ungkapannya keras dan perkataannya terbatas. Tidak boleh menurutkan gaya perbicaraan di dalam hati dihubungkan dengan apa yang diluahkan menggunakan suara lembut, di mana pendengar lelaki boleh berkeinginan untuk berbicara lebih panjang. Seseorang sewajarnya memulakan bicaranya dengan baik dan keras. Seseorang perempuan diperintahkan mendatarkan perkataannya. Dimaksudkan dengan makruf ialah dikembalikan kepada syarak menurut apa yang diperintahkan untuk menyampaikannya atau sekadar hajat yang diperlukan oleh manusia.
3) Imam al-Qurtubi berkata di dalam tafsirnya al-Jamik Li Ahkam al-Qur'an, "seseorang perempuan tidak boleh melembutkan suaranya. Allah memerintahkan kepada seseorang perempuan agar perkataannya keras dan perkataannya terbatas. Mereka tidak boleh meluahkan bicaranya menurutkan gaya seperti yang ada di dalam hatinya yang lembut. Sebagaimana halnya perempuan Arab yang bercakap dengan orang lelaki menggunakan suara yang halus dan lembut seperti ungkapan orang yang meragukan dan menggodakan. Syarak melarang perempuan melakukan seperti itu. Ibnu Abbas berkata, seseorang perempuan hendaklah menyuruh perkara kebaikan dan melarang perkara kejahatan. Seseorang perempuan, bila bercakap-cakap dengan lelaki ajnabi, begitu juga dengan lelaki yang mempunyai hubungan kekeluargaan melalui persemendaan dengannya seperti suami saudara perempuannya (ipar lelaki) dan sepupu lelaki, hendaklah mengeraskan perkataannya tanpa mengangkat suaranya. Seseorang perempuan diperintahkan mendatarkan suaranya. Oleh itu, ungkapan yang makruf ialah perkataan yang tidak diingkari oleh syarak dan jiwa."
4) Imam Abu Bakar ar-Razi yang dikenali dengan al-Jasas berkata di dalam kitabnya Ahkam al-Qur'an, seseorang perempuan tidak boleh melembutkan suaranya kepada lelaki-lelaki ajnabi dengan gaya yang boleh diingini oleh lelaki yang meragukan niatnya. Ini menunjukkan bahawa hukum itu diumumkan kepada semua perempuan dalam tegahannya berbicara dengan lelaki ajnabi. Adalah lebih baik, seseorang perempuan tidak mengangkat suaranya yang boleh didengari oleh lelaki ajnabi.
5) Imam Ibnu Kathir berkata di dalam tafsirnya, menukilkan perkataan as-Sudi, maksud firman Allah Taala, seseorang perempuan tidak boleh menundukkan suarannya ialah menggunakan suara yang halus, lembut dan lunak ketika berbicara dengan lelaki ajnabi.
Ibnu Zaid berkata, perkataan baik, sopan dan terkenal dengan kebaikan bermakna seseorang perempuan ketika berbicara dengan lelaki ajnabi tidak menggunakan perkataan yang halus dan merdu, iaitu seseorang perempuan tidak berbicara dengan lelaki ajnabi seperti dia berbicara dengan suaminya.
6) Imam al-Baidhawi berkata, seseorang perempuan tidak boleh meluahkan bicaranya dengan lembut dan halus seperti ungkapan perempuan yang meragukan. Berkatalah dengan perkataan yang makruf ialah perkataan yang baik dan tidak meragukan.
7) Asy-Syahid Sayyed Qutub berkata di dalam kitabnya Fi Zilal al-Qur'an, syarak Islam melarang seseorang perempuan ketika mereka bercakap-cakap dengan lelaki ajnabi dengan menggunakan suara yang nyaring, menundukkan suara dan lembut. Gaya ini boleh membangkitkan nafsu syahwat lelaki, menggetarkan keinginannya, lelaki yang tidak baik naitnya akan teringin dan menggerakkan kehendaknya.
Siapakah yang telah dilarang oleh Allah dengan tegahan ini? Mereka adalah para isteri Nabi SAW dan Ummahatul Mukminin, apa yang jelas oleh pemikiran kita sekali imbas. Pada zaman bilakah larangan ini disuarakan? ianya adalah pada zaman Nabi SAW, pada zaman manusia yang baik-baik dan terpilih dari semua zaman. Tetapi, Allah yang menjadikan lelaki dan perempuan Maha Mengetahui bahawa suara perempuan ketika ditundukkan ungkapannya dan dilunakkan lafaznya akan membangkitkan syahwat lelaki yang tidak baik dan menggerakkan godaan di dalam hati lelaki. Hati-hati lelaki yang tidak baik sentiasa wujud pada setiap zaman dan pada setiap suasana. Mereka sentiasa memberikan tumpuannya kepada setiap perempuan sekalipun perempuan itu para isteri Nabi SAW dan Ummul Mukminin. Setiap masa tidak akan bersih dari kekotoran dan tidak akan hilang najisnya sehinggakan tertegah beberapa sebab yang mendorong dari dasarnya. Itu pada zaman kenabian.
Bagaimana dengan masyarakat kita yang kita hidup pada hari ini, pada masa kita ini yang dipenuhi dengan kekotoran yang melemahkan, yang sentiasa membangkitkan fitnah, di dalamnya sentiasa memberontakkan syahwat dan di dalamnya sentiasa menggerakkan keinginan nafsu?! Bagaimana dengan kita pada suasana ini yang pada setiap detik membangkitkan fitnah, menggerakkan nafsu syahwat, melonjakkan kemahuan jiwa dan membangkitkan gerakan seks yang beracun?? Bagaimana dengan kita dalam masyarakat ini, dalam masa ini, dalam suasana ini, perempuan-perempuannya yang melenggangkan suara mereka, melemahkan suara mereka, mengumpulkan semua godaan mereka, setiap getaran seks, setiap kemuncaknya syahwat, kemudian mereka meluahkannya dalam gegaran suaranya dan dendangannya. Seperti inikah mereka dianggap sebagai perempuan yang suci?? Bagaimana mungkin kesucian boleh terbayang dalam suasana yang mengotorkan, sedangkan diri-diri perempuan-perempuannya, gerakan lenggangnya dan getaran suaranya membisikkan bicara keji yang Allah sendiri hendak menghapuskannya dari para hambaNya yang terpilih??!!
Berkatalah dengan ungkapan yang baik. Sebelumnya, Allah sentiasa melarang seseorang perempuan dari nyaringan suara lembut dan gaya bahasa yang melemahkan jiwa lelaki. Dalam masalah ini, Allah memerintahkan kepada mereka agar perbicaraan mereka dalam perkara yang diketahui, bukannya jarang berlaku. Tajuk perbicaraan kadang-kadang menggerakkan syahwat seperti juga gaya bahasa yang diluahkan oleh mereka. Oleh itu, antara perempuan ajnabiah dan lelaki ajnabi tidak sewajarnya mengungkapkan bicara yang bergetar, tidak bersenda gurau, tidak meluahkan ungkapan yang mentertawakan, tidak bermain-main, berjenaka agar segala ungkapan ini tidak dijadikan sebagai jalan masuk kepada perkara lain di sebaliknya sama ada dalam masa terdekat atau dalam jangka masa panjang.
Nota kaki : Suka diterangkan disini,perbualan ini tk terhad kepada telefon memandangkan dunia yg semakin canggih.justeru,voice chat,tele-conference,cellphones etc termasuk dlm kategori yg sama. Pesanan, kalau tiada hal yang benar-benar mustahak, tak perlulah berurusan dengan cara yang boleh menimbulkan fitnah dan zina dari segenap aspek.
0 Comments:
Catatan Terbaru Catatan Lama Laman utama